Wikipedia

Search results

Thursday, April 24, 2008

Understand or Understanding....

Memahami dan faham adalah dua istilah yang berbeza dari segi makna. Faham itu merujuk kepada diri sendiri yang dapat mengerti apa yang disampaikan. Berlainan memahami, ia merujuk kepada kemahiran individu bukan sekadar mengerti apa yang disampaikan, tetapi juga mengerti kenapa ia disampaikan yang mana akhirnya dapat menghidupkan suatu penghayatan dalam diri seseorang.

Seorang pelajar yang faham subjek yang diajar boleh menjawab soalan peperiksaan dengan mudah. Tapi seorang pelajar yang memahami subjek yang diajar bukan sekadar boleh menjawab dengan mudah, tapi ditambah dengan hubungkait serta analisa kes, yang seterusnya melahirkan kebolehan mengaplikasi subjek tersebut di dalam kehidupan.

Seorang pengajar yang faham tentang sesuatu subjek hanya boleh menyampaikan apa yang ada, namun seorang pengajar yang memahami tentang sesuatu subjek boleh mengulas, menghurai, menghayati dan mengaitkan subjek tersebut dengan kehidupan.

Seorang pekerja yang faham boleh melakukan kerja mengikut arahan, tapi seorang pekerja yang memahami dapat melaksanakan kerja tanpa perlu arahan.

Orang yang faham belum tentu akan melaksanakan tugas, tapi orang yang memahami akan sentiasa melaksanakan tugas dengan jujur dan ikhlas.


Oleh itu, sekiranya kita sudah merasakan diri kita sudah faham, cuba lah memahami pula. Insya allah, hidup akan jadi lebih "hidup".